Masyarakat Zaman Rig Veda Rig_Veda

Agama dan Nilai-Nilai Hidup

Masyarakat zaman ini merupakan suatu masyarakat yang dinamik dan penuh tenaga. Kesedaran rohani telah meliputi segala aspek kehidupan masyakarat. Kebaikan dan kesejahteraan duniawi tidak diabaikan tetapi diseimbangkan dengan kehidupan selepas ini. Satya (kebenaran) dan Dharma (kebaikan) disanjung tinggi dan Amrtatva (keabadian) dianggap sebagai matlamat kehidupan. Secara semulajadi, masyarakat mempunyai hubungan yang rapat dengan dewa-dewi seperti Indra, Agni, dan Varuna, terutamanya menerusi sistem upacara korban Vedik yang amat berleluasa. Pada zaman ini, sistem upacara korban telah berkembang ke tahap kesempurnaan.

Namun, tidak ada bukti bahawa masyarakat pada zaman ini membina sebarang kuil atau melakukan penyembahan berhala. Menurut satu pendapat, kemungkinan sembahyang secara kumpulan telah diamalkan.

Golongan Rishi sedar bahawa bagi mendapatkan kehidupan abadi, manusia perlu menjalani kehidupan duniawinya dengan baik. Maka, mereka tidak membenci kehidupan ini. Sebaliknya, mereka berdoa untuk mendapatkan badan yang kuat, sihat, suci dan usia yang panjang.[44] Pada masa yang sama, mereka juga menekankan moral dan nilai-nilai murni dalam kehidupan peribadi dan sosial.[45]

Satu aspek penting kehidupan ialah mencari rezeki yang halal dan berkongsi kekayaan dengan orang lain, terutamanya dengan orang-orang yang kurang bernasib baik. Oleh itu, dana atau pemberian derma disanjung tinggi.[46]

Perkahwinan dan Wanita

Vivaha Sukta ( Rig Veda 10.25) memberikan idea tentang konsep perkahwinan Vedik. Perkahwinan dianggap sebagai suatu Samskara (perbuatan agama). Masyarakat zaman ini juga mengamalkan monogami, poligami dan sistem svayamvara[47] (seorang gadis memilih suaminya sendiri). Perkahwinan semula wanita (mungkin yang tiada anak) dibenarkan dengan adik suaminya.[48]

Bapa ialah ketua keluarga dan biasanya anak lelaki diidamkan.

Wanita Hindu pada zaman ini diberikan penghormatan tinggi dalam keluarga sebagai ibu dan isteri.[49] Golongan wanita juga diberikan kebebasan untuk mendapatkan pendidikan tinggi. Malah, dalam kalangan Rishi-rishi juga terdapat wanita-wanita (dinamakan sebagai 'Rishika'). Rig Veda sendiri mempunyai hampir 30 Rishika.

Tamadun dan Kebudayaan

Masyarakat Rig Veda telah mencapai tamadun dan kebudayaan yang tertinggi. Mereka hidup di kampung-kampung atau pekan-pekan, yang sering dilindungi dengan benteng pertahanan.[50]

Kegiatan ekonomi yang utama ialah pertanian dan penternakan. Namun, pekerjaan seperti pertukangan besi,[51] pertukangan kayu,[52] perubatan,[53] menenun,[54] pembinaan kapal,[55] dan kerja-kerja barangan kulit[56] juga dilakukan. Para petani juga mengetahui kaedah pengairan yang baik.[57]

Kesenian, muzik dan tarian juga digalakkan.[58]

Sistem varna telah mula berakar. Golongan sami dan raja-raja adalah amat berkuasa. Kejayaan dalam peperangan dan keberanian raja-raja juga disebut dalam Veda ini.